Program agrotek di kolej Vokasional bakal diperkukuh – Menteri Pendidikan
Program agrotek di kolej vokasional seluruh negara bakal diperkukuhkan dalam usaha menjadikan sektor itu sebagai sumber ekonomi negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selepas merasmikan Karnival Agrotek Madani @ KVKPM 2023 di Kolej Vokasional Pasir Puteh berkata, program-program pertanian dengan pelbagai rakan strategik yang dilaksanakan ketika ini juga sangat signifikan ke arah usaha menjayakan dasar keterjaminan makanan.
“Program Karnival Agrotek Madani @ KVKPM yang julung kali diadakan merangkumi pelbagai aspek pertanian adalah inisiatif awal KPM dalam memperkukuh bidang pertanian.
“Ia juga satu pendekatan untuk tingkatkan keupayaan pelajar dalam menguasai kemahiran dan teknologi berkaitan pertanian yang sekali gus menghasilkan kepakaran dalam sektor ini dan kita melihat perkara ini boleh diperluas ke seluruh kolej vokasional,” katanya.
Program Agrotek Madani@Kolej Vokasional KPM diadakan bagi mempromosikan penggunaan teknologi moden seperti Internet benda (IoT) dalam bidang pertanian selain menyemai minat dalam bidang agrotek dalam kalangan generasi muda.
Inisiatif itu juga bagi menyahut aspirasi untuk memenuhi keperluan industri asas tani dan keterjaminan makanan negara berdasar kepada Dasar Agromakanan Negara 2.0 2021-2030.