Negeri

MAIS tarik balik tauliah mengajar Abdullah Khairi selaras titah Sultan Selangor

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mempertahan keputusan Jawatankuasa Tauliah MAIS menarik balik tauliah penceramah Abdullah Khairi Haroon

Pengerusinya Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataan berkata, penarikan tauliah itu selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan pemberian tauliah mengajar agama Islam kepada mana-mana aktivis politik.

Penarikan balik tauliah tersebut dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 dan pemegang tauliah yang terkesan diberi ruang untuk membuat rayuan kepada MAIS.

“MAIS menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu penarikan balik tauliah mengajar agama Islam dan menghormati titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah diberikan kepada mana-mana aktivis politik.

“Ini kerana ia dikhuatiri boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Selangor serta mencemarkan agama Islam,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz turut mengulas membatalkan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam terhadap Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Jelasnya, keputusan mahkamah dibuat berdasarkan alasan ketidakpatuhan prosedur semasa proses penarikan balik tauliah dibuat. dan pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Okt lepas.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ini sama sekali tidak menyentuh dan tidak mempersoalkan penarikan balik tauliah atas titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.

“Justeru, titah Sultan Selangor ini masih berkuat kuasa di negeri Selangor,” katanya.

MAIS menarik balik tauliah Ahmad Dusuki dibuat selaras dengan titah Sultan berdasarkan maklumat tentang status keaktifannya dalam parti politik, termasuk tapisan keselamatan oleh polis.

Related Articles

Back to top button