Semasa

NRECC sasar bandar utama guna kaedah pembentungan moden

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mahu menjayakan dasar pembangunan sektor pembetungan negara yang selari dengan kepesatan pembangunan serta memenuhi ekspektasi rakyat.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya menetapkan sasaran 95 peratus perkhidmatan Loji Rawatan Kumbahan Serantau (RSTP) di bandar-bandar utama di negara ini menjelang 2030

Ia sebagai usaha untuk meningkatkan akses kepada bekalan air bersih dan sanitasi yang merupakan Matlamat Pembangunan Mampan Nombor 6 (SDG 6) yang turut disokong oleh Kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu, bagi mencapai matlamat SDG 6, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan besar dalam memastikan perancangan penyediaan infrastruktur pembetungan yang moden dan efisien secara berperingkat di seluruh negara.

“Ia merupakan keperluan asas kepada rakyat menjalani kehidupan yang lebih kondusif berdasarkan kepada prinsip keadilan sosial. Ini adalah sejajar dengan satu daripada Teras Strategik Utama Malaysia MADANI iaitu menjamin kesejahteraan insan,” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian pada ucapan majlis perasmian RSTP Papan 2 di negeri Perak di Pusing di Batu Gajah pada Sabtu.

Sementara itu tambah Nik Nazmi, pembangunan perkhidmatan pembetungan di kawasan bandar yang berkepadatan tinggi adalah berlandaskan konsep serantau iaitu membina loji rawatan kumbahan dengan skala bersesuaian bagi menampung keperluan komuniti yang lebih ramai.

“Kaedah ini dapat meningkatkan kecekapan secara skala ekonomi di samping mengurangkan pembinaan loji-loji kecil di kawasan pembangunan baharu,” katanya.

Projek RSTP Papan 2 yang menelan kos sebanyak RM453 juta merangkumi kawasan tadahan seluas 195 kilometer persegi melibatkan tiga kawasan utama iaitu bandar raya Ipoh, Gunung Rapat dan Menglembu.

Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 600,000 penduduk dan mampu menampung sehingga 900,000 penduduk

Related Articles

Back to top button