Pilihanraya

Pengundi Pelangai beri isyarat mahu kerajaan stabil

Kemenangan calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai membuktikan masyarakat di kawasan itu matang dan bijak membuat pilihan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepadaseluruh masyarakat di Pelangai sama ada di kampung tradisi, perkampungan Orang Asli, kampung baru dan gugusan Felda.

Tambahnya, kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh masyarakat Pelangai akan dihargai dan kerajaan negeri pimpinannya akan menggalas amanah itu dengan baik dan sepenuh hati.

“Ini juga membuktikan bahawa masyarakat Pelangai tidak sesekali terpengaruh dengan kempen agresif pihak Perikatan Nasional (PN) yang mengamalkan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’ sehingga sanggup menabur fitnah, memaki hamun, mengadu domba, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah serta memburukkan kerajaan negeri dalam siri ceramah mereka.

“Selain itu, kemenangan ini juga bermakna pihak BN berjaya menyekat gelombang hijau yang mereka canang dan banggakan selama beberapa bulan ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada jentera BN dan Pakatan Harapan sama ada di peringkat pusat, negeri, bahagian, apatah lagi jentera tempatan, yang bertungkus-lumus melakukan gerak kerja selama ini,” katanya kepada pemberita di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di Bentong malam tadi.

Sementara itu tambahnya, BN dan kerajaan negeri akan membantu wakil rakyat DUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam bagi memastikan kebajikan, keperluan dan kesejahteraan masyarakat Pelangai terjaga dan terpelihara.

“Tugas dan tanggungjawab kita selepas ini adalah berkhidmat kepada rakyat. Saya percaya kemenangan ini membuktikan kebijaksanaan warga Pelangai memilih calon BN untuk membawa suara warga Pelangai di sebagai DUN Pahang.

“Kemenangan BN ini juga isyarat dari warga Pelangai yang mahukan sebuah kerajaan negeri yang stabil demi kemakmuran pada masa hadapan,” katanya.

Related Articles

Back to top button