Pesawat tempur Israel lancar serangan udara baharu di Semenanjung Gaza
Pesawat tempur Israel melancarkan serangan udara baharu di Semenanjung Gaza awal Ahad di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat berikutan serangan mengejut Hamas ke bandar-bandar Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).
Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, kabinet keselamatan melaksanakan ‘siri keputusan operasi’ untuk memusnahkan keupayaan tentera dan kerajaan Hamas serta kumpulan Jihad Islam, “dengan cara yang akan menghapuskan keupayaan dan keinginan mereka untuk mengancam dan membahayakan rakyat Israel selama bertahun-tahun.”
Satu kenyataan tentera berkata, jet pejuang menyerang dua bilik kawalan Hamas di Gaza. Dua infrastruktur operasi di dalam masjid turut menjadi sasaran serangan pesawat.
Tentera Israel menggesa penduduk Gaza mengosongkan kawasan kediaman di tengah-tengah serangan udara yang berterusan di seluruh wilayah Palestin dan mengisytiharkan kawasan sekitar sempadan Gaza sebagai zon tentera tertutup.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata, sekurang-kurangnya 20,000 penduduk Palestin telah kehilangan tempat tinggal di Gaza dan berlindung di berpuluh-puluh sekolah dan pusat perlindungan kecemasan di seluruh semenanjung itu.
Akhbar Yedioth Ahronoth berkata, penggera amaran roket berbunyi di Ashkelon selepas tembakan roket dari Gaza. Perkhidmatan ambulans Magen David Adom berkata enam warga Israel cedera di Ashkelon, termasuk seorang yang dalam keadaan serius.
Peningkatan ketegangan itu susulan serangan mengejut oleh Hamas pada awal Sabtu yang melibatkan berpuluh-puluh pejuang yang menyusup masuk ke bandar-bandar Israel berhampiran enklaf itu di tengah-tengah tembakan roket yang hebat.
Kementerian Kesihatan Israel berkata, sekurang-kurangnya 300 warga Israel terbunuh dan lebih 1,500 cedera dalam serangan itu.
Lebih 250 rakyat Palestin, sementara itu, terbunuh dan lebih 1,700 cedera dalam serangan udara Israel di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan.
Netanyahu berikrar untuk menggunakan semua kekuatan Israel untuk memusnahkan keupayaan Hamas dan “membalas dendam untuk hari hitam ini.” – Bernama