Semasa

Rafizi tepis dakwaan NETR akan jejas TNB

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan pelaksanaan Pelan Peralihan Tenaga Boleh Baharu (NETR) tidak akan menjejaskan perolehan keuntungan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menerusi akaun Facebook pada Sabtu Rafizi berkata, TNB sendiri dijangka akan mendapat keuntungan dari pengumuman NETR itu.

“Malah NETR itu dilancarkan dalam dua fasa. Fasa pertama saya yang lancarkan, fasa kedua Perdana Menteri yang lancarkan dengan TNB menjadi tuan rumah

“Sebabnya TNB tahu bahawa peralihan tenaga ini adalah salah satu anjakan sangat penting bukan sahaja kepada negara, tapi laba itu TNB yang akan dapat,” katanya mengulas dakwaan NETR hanya akan menguntungkan syarikat solar luar negara berbanding TNB.

Rafizi turut menjelaskan prestasi saham TNB mencatatkan peningkatan sejak dua bulan sebelum NETR dilancarkan.

“Sebelum NETR dilaksana, pelabur antarabangsa dan pengurus dana yang menentukan saham mana yang hendak dibeli dan mereka berasakan kaunter-kaunter di Malaysia termasuklah TNB perlu melakukan sesuatu dengan lebih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pematuhan kepada perubahan iklim.

“Kemudian pada masa yang sama kerajaan juga menunjukkan cara dan kaedah yang akan dilaksanakan, itu menimbulkan keyakinan dalam kalangan dana-dana pelaburan antarabangsa.

“Sebab itu kita tengok kaunter TNB mendapat untung, selain daripada kaunter-kaunter lain yang di dalam solar,” tambahnya.

Mengulas lanjut Timbalan Presiden KEADILAN itu menegaskan, melalui NETR, Malaysia akan menjadi antara pengeluar panel solar terbesar di dunia yang memberi laba kepada industri lain termasuklah membuka peluang pekerjaan baharu kepada anak-anak Malaysia.

“TNB juga tahu bahawa ini adalah penting untuk pertumbuhan dan kemampanan TNB pada masa akan datang sebagai sebuah syarikat utiliti,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button