Global

Hak rakyat Palestin atas tanah air mereka perlu dikembalikan – Mohamad Sabu

Seluruh masyarakat antarabangsa digesa menyokong dan membantu rakyat Palestin untuk mendapatkan hak kembali ke tanah air mereka.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi satu hantaran di laman sosialnya berkata, dunia tidak boleh beralih fokus kepada isu lain termasuk dakwaan tindakan ganas pejuang Palestin tanpa melihat kepada faktor utama kekacauan yang tidak pernah diselesaikan.

“Apa sahaja jalan dipilih oleh rakyat Palestin yang teraniaya ini berpunca daripada tanah air dan harta benda mereka dirampas secara haram oleh rejim Israel.

“Oleh itu kita perlu lebih tegas mendesak dan menghalang Israel meluaskan petempatan haram mereka dan kembalikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Mohamad turut mempersoal mengapa dunia seolah-olah bersikap dalam isu penindasan rakyat Palestin.

Resolusi 2334 pada 2016 jelasnya mendakwa Israel melanggar undang-undang antarabangsa dengan pembukaan 293 petempatan haram di tanah Palestin, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap negara tersebut.

“Bukan sekadar tidak mematuhi undang-undang antarabangsa, tetapi Kerajaan Israel juga mengumumkan langkah untuk membina sekali ganda lagi petempatan haram di wilayah yang dijajah mereka di Bukit Golan menjelang 2027,” tegasnya.

Mohammad juga mengingatkan, sejak penubuhan negara Israel secara haram pada 1948, jutaan rakyat Palestin terpaksa melarikan diri ke negara jiran seperti Jordan, Syria, Lubnan dan Mesir selepas rumah dan tanah mereka dirampas rejim itu.

Related Articles

Back to top button