Kerajaan akan laskanakan semula PLKN di kem tentera, Pulapol
Kerajaan akan meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan kaedah latihan yang berbeza dan menjalani latihan di kem tentera.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 13 kem wataniah seluruh negara akan digunakan dan satu kem Pusat Latihan Polis (Pulapol) boleh digunakan untuk latihan selama 45 hari yang boleh menampung 4,000 orang untuk setahun.
“Kerajaan sudah memikirkan untuk meneruskan semula PLKN ini. Jemaah Menteri pada 2021 telah pun meluluskan untuk mengkaji semula cara baharu untuk meluluskan PLKN kerana ia amat baik untuk memberikan asas ketatanegaraan kepada belia kita.
“Kami boleh melatih lebih kurang 20,000 orang (selama) 45 hari. Tenaga pelatih juga sudah ada tentera dan kosnya amat kurang.
“Kalau dahulu kita berbelanja lebih RM500 juta setahun, tetapi kali ini daripada kertas kerja oleh jawatankuasa ini, kita tidak akan berbelanja lebih RM100 juta. (Ia) penjimatan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang bertanyakan adakah kerajaan mempertimbangkan cadangan pelaksanaan semula PLKN sebagai satu inisiatif di bawah kementerian.
Menurut Mohamad, PLKN 3.0 ini akan dilaksanakan secara dua fasa iaitu Fasa 1 dilakukan di peringkat sekolah melibatkan pelajar tingkat empat dengan program badan beruniform yang sedia ada diperkasakan lagi.
“Lepas (menduduki) SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), mereka masuk Fasa 2 dan belia-belia yang lahir pada proses PLKN Fasa 2 disambut pula kelahirannya oleh agensi lain.
“Kalau tidak, dahulu pergi hore-hore, selepas itu tidak ada apa-apa, tidak ada kesinambungan. ‘Kelahiran’ mereka ini tidak disambut dan mereka terpinga-pinga, dengan semangat berkobar-kobar tetapi mereka tidak tahu apa-apa,” katanya.
Beliau berkata, di bawah PLKN Fasa 2, latihan hanya mengambil masa 45 hari dengan 90 peratus modulnya bersifat ketenteraan untuk membina jati diri mereka sebagai belia yang kuat, bertenaga dan sihat, manakala 10 peratus lagi berasaskan tata negara.
Mohamad berkata, langkah itu juga sebagai penyediaan guna tenaga belia terlatih yang mempunyai jati diri dan semangat cintakan negara yang kemudian boleh diserap oleh agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).