Global

Malaysia bersama perjuangan Palestin – PM Anwar

Malaysia akan terus kekal bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi ciapan di laman sosial X pada Ahad, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sekali lagi berkata, masyarakat antarabangsa secara berterusan telah mengambil tindakan berat sebelah terkait segala bentuk kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin.

“Rampasan tanah dan harta milik rakyat Palestin dibuat Zionis tanpa henti.

“Akibat ketidakadilan ini, ratusan nyawa yang tidak bersalah menjadi mangsa korban,” katanya mengulas peningkatan pertempuran antara pejuang Hamas dan tentera rejim Israel di sekitar Semenanjung Gaza.

Anwar ketika menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di ibu pejabat PBB di New York September lalu dengan tegas menyatakan terdapat sikap hipokrit yang nyata dalam menangani isu Palestin.

Tegasnya, masyarakat antarabangsa mesti bersuara menentang kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, lebih-lebih lagi semasa mereka bersuara keras menentang pencabulan hak asasi manusia, ketidakadilan dan rejim yang kejam.

Pada Sabtu, Hamas melancarkan Operasi al-Aqsa disertai rakyat Palestin sebagai mesej mempertahankan diri dan menjaga kedaulatan tanah air selain membalas penindasan serta keganasan yang dilakukan rejim Zionis sejak hampir satu abad.

Pegawai Perhubungan Antarabangsa Hamas, Khaled Qadoumi berkata, rakyat Palestin ketika ini berdepan penindasan oleh pentadbiran Israel sayap kanan (ekstrem) yang dipercayai melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa.

Setakat semalam, lebih 250 rakyat Palestin dilaporkan terkorban manakala lebih 1,700 cedera susulan pengeboman Israel ke atas Gaza.

Related Articles

Back to top button