NegeriSemasa

Pangsapuri tanpa elektrik: Exco N9 turun padang, cuba bantu selesai masalah penduduk

Isu bekalan elektrik yang dihadapi pemilik-pemilik kediaman di sebuah pangsapuri perkhid­matan di Seremban 3 mendapat perhatian Kerajaan Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar telah mengadakan pertemuan bersama kira-kira 30 orang pemilik unit kediaman pangsapuri itu pada Ahad bagi mendapat maklumat mengenai isu itu sekaligus cuba menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

Menurutnya, beliau diberitahu bahawa bekalan elektrik termasuk kemudahan lif telah dipotong ekoran terdapat baki tertunggak untuk deposit akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) di situ yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat.

Bagi mengatasi masalah itu dan memastikan bekalan elektrik dapat disambung semula di pangsapuri itu, beliau kemudian mengadakan pertemuan pihak pemaju pangsapuri tersebut, ejen penyelenggaraan serta pihak TNB.

“Sekarang, langkahnya hanya boleh tubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) supaya akaun baharu TNB didaftarkan atas JMB, jika tidak, memang sukar untuk selesaikan isu ini.

“Bagaimanapun, ia tidak boleh diselesaikan dalam tempoh seminggu dua ini, ia akan mengambil masa berbulan-bulan dan dalam tempoh itu, jika isu bekalan elektrik tidak dapat diselesaikan, ia akan menimbulkan banyak isu lain seperti pam air yang tidak berfungsi, tidak hanya masalah lif sahaja, jika berterusan, bangunan ini nanti akan jadi bangunan yang terbiar.

“Saya sudah berbincang dengan ejen penyelenggaraan dan bertanyakan kepada pemaju apa yang mereka boleh bantu, TNB pula berkata, mesti ada sekurang-kurangnya RM70,000 sebagai deposit supaya elektrik boleh disambung semula dan sekarang kaedahnya kita perlu mencari jumlah itu sehinggalah kita tukar kepada akaun JMB,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan keluhan penduduk, termasuk serta pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban yang menyewa di unit kediaman tersebut.

Keadaan tersebut menyebabkan mereka yang kebanyakannya baru tinggal di situ untuk semester ini terpaksa menggunakan tangga untuk ke unit rumah masing-masing di pangsapuri yang mempunyai 12 tingkat itu selain untuk mengikuti kuliah di kampus universiti yang terletak bersebelahan dengan bangunan pangsapuri berkenaan.

Keadaan tersebut juga mendatangkan kebimbangan terhadap keselamatan terutamanya pelajar wanita apabila gangguan bekalan elektrik itu juga menyebabkan keadaan di koridor di setiap tingkat juga bergelap.

Difahamkan, terdapat kira-kira 200 unit service suite di situ dengan 30 unit di antaranya disewa oleh kira-kira 100 orang pelajar.

Related Articles

Back to top button