Uncategorized

Rakyat Palestin berhak hidup dengan aman – Wisma Putra

Malaysia menyatakan rasa bimbang berhubung pertempuran yang semakin meningkat di Semenanjung Gaza.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Ahad menggesa semua pihak yang terlibat untuk bersikap penuh kawalan diri dan berusaha untuk mengurangkan ketegangan sekaligus menghentikan segera kehilangan nyawa, penderitaan dan kemusnahan akibat pertempuran.

“Puncanya mesti diakui. Rakyat Palestin telah mengalami pendudukan haram, sekatan dan penderitaan yang berpanjangan, penodaan Masjid Al-Aqsa, serta politik perampasan oleh Israel sebagai penjajah.

“Ketidakkonsistenan untuk bertindak ke atas rejim Israel menimbulkan persoalan penguatkuasaan seragam prinsip antarabangsa dan menyerlahkan keperluan untuk pendirian yang lebih konsisten dalam menangani pentadbiran apartheid,” menurut kenyataan itu.

Malaysia juga menegaskan tidak sepatutnya layanan berat sebelah berlaku dalam menangani mana-mana rejim yang mengamalkan apartheid dan melanggar hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.

Mengulangi hak undang-undang rakyat Palestin, Malaysia turut menegaskan bahawa mereka mempunyai hak untuk hidup dengan aman dalam sempadan mereka yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka, serta hak rakyat Palestin yang tidak boleh dipisahkan untuk pulang ke rumah dan harta mereka dari mana mereka telah dipindahkan.

Malaysia juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan oleh Piagam untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa

UNSC tegas Malaysia wajar segera mengadakan sidang tergempar bagi menuntut semua pihak menghentikan keganasan serta menghormati dan melindungi nyawa orang awam yang tidak bersalah.

Related Articles

Back to top button