Parlimen

Sejumlah 5,873 tapak 5G siap dibangunkan setakat 30 September – Fahmi

Sebanyak 5,873 tapak 5G sudah siap dibangunkan sehingga 30 September 2023 dengan perkhidmatan rangkaian mencapai 70.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, bagi jumlah langganan perkhidmatan 5G pula, sebanyak 2.49 juta direkodkan bersamaan 7.4 peratus kadar penembusan.

“Sehingga kini, enam syarikat pemberi perkhidmatan mudah alih telah menawarkan pelan komersial 5G iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia, YTL Communications dan Yoodo.

“Tambahan, untuk makluman Yang Berhormat Titiwangsa (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) pada 31 Ogos lalu, kerajaan telah mengumumkan pakej 5G Rahmah.

“Sukacita saya memaklumkan, dalam tempoh sebulan antara 31 Ogos hingga hujung September, terdapat 50,991 orang yang telah melanggan dengan pakej 5G Rahmah,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) tentang status pembangunan rangkaian 5G setakat ini dan jumlah langganan yang telah diterima menerusi perkhidmatan rangkaian 5G.

Fahmi berkata, pelaksanaan rangkaian 5G ketika ini sedang giat dijalankan oleh Digital Nasional Berhad dengan sasaran untuk menyiapkan 7,509 tapak 5G di seluruh negara, meliputi 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Related Articles

Back to top button