Semasa

Hasil libat urus isu penggunaan kalimah Allah akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja

Arahan pentadbiran baharu berkaitan isu penggunaan kalimah Allah akan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas hasil libat urus bersama pihak berkepentingan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja (MRR)

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berkata input dan pandangan berkenaan akan mencorakkan Arahan Pentadbiran yang baharu mengenai penggunaan kalimah Allah

“Perkara berkaitan agama Islam, raja adalah pihak berautoriti.

“Kena bentang di sana, apa-apa input, jika ada pandangan tambahan, akan dihantar balik semula ke KDN untuk diteliti dan akan jadi panduan untuk merangka arahan pentadbiran, gunanya bertujuan mengurus hal seperti ini.

“Kalau (berlaku) hal berkaitan bagaimana selesaikannya. MRR adalah pihak berkuasa agama tertinggi agama dalam negara,” katanya dalam satu sidang media di pejabat KDN di Putrajaya pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mesyuarat MRR dijadual bersidang pada 25 hingga 28 Oktober ini.

Sementara itu Saifuddin menjelaskan, lima sesi libat urus itu membabitkan cendekiawan Islam dan asatizah; ahli akademik, sosiologi dan keselamatan awam; aktivis dalam bidang perundangan sivil dan syariah; badan pengurusan syariah Malaysia; dan badan pengurusan keharmonian agama.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 yang membenarkan permohonan semakan kehakiman wanita beragama Kristian, Jill Ireland, yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Tambah Saifuddin, peserta sesi libat urus itu menyuarakan supaya kerajaan mengusahakan untuk memuktamadkan menyelesaikan isu berkaitan penggunaan kalimah Allah itu supaya tidak lagi membuka ruang kepada sebarang elemen atau anasir yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman ataupun ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Related Articles

Back to top button