Parlimen

Stok beras cukup hingga tahun depan – Mohamad Sabu

Jumlah stok beras bagi menampung keperluan beras negara ketika ini mencukupi bagi tempoh sehingga lima bulan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, berdasarkan semasa sesi penerangan mengenai bekalan makanan ruji itu di Dewan Rakyat semalam berkata, jumlah stok bekalan sehingga 3 Oktober adalah sebanyak 820,482 tan.

“(Ia) terdiri daripada 250,000 tan ‘stockpile’ (simpanan stok) kerajaan dan 570,482 tan stok dagangan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sebanyak 708,978 kampit BPT 10 kilogram (kg) telah diedarkan di seluruh Semenanjung Malaysia sejak pelancaran Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) pada 20 September lalu.

Katanya edaran itu melalui rantaian peruncit seperti pasar raya, rantaian premis serta outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Mengulas mengenai kenaikan harga beras putih import (BPI), beliau menjelaskan ia susulan kenaikan secara mendadak harga beras di seluruh dunia dan tindakan kerajaan India melarang eksport bekalan beras mereka.

“Bernas (Padiberas Nasional Berhad) telah mengumumkan pelarasan harga jualan BPI di pintu gudang seluruh negara daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik berkuat kuasa pada 1 September lalu sejajar harga terkini BPI di pasaran antarabangsa.

“Sekiranya kenaikan harga BPI berterusan tanpa pelarasan harga jualan dilaksanakan, BERNAS akan mengalami kerugian pada tahun kewangan berakhir 31 Disember.

“Bernas juga dijangka hilang kemampuan untuk berkongsi 30 peratus keuntungan bersih pengimportan dengan pesawah sehingga membawa implikasi negatif kepada kerajaan,” katanya.

Walau bagaimanapun Mohamad menjelaskan, harga jualan BPI akan diselaraskan bernas dari masa ke semasa tertakluk kepada harga pasaran beras global.

Related Articles

Back to top button