ekonomi

Belanjawan 2024: Kerajaan perlu bawa pekerja gig sertai skim simpanan persaraan arus perdana – Pakar ekonomi

Kerajaan perlu menggandakan usaha untuk membawa pekerja gig menyertai skim simpanan persaraan arus perdana walaupun terdapat daya tarikan yang baik daripada segi kadar pengambilan untuk simpanan sukarela di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata seorang pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup dan ancaman daripada penipu kewangan, yang boleh menjejaskan kebajikan jangka panjang pekerja gig.

“Isu utamanya adalah mengenai kebajikan pekerja gig, terutamanya berkenaan dengan simpanan persaraan mereka.

“Ia adalah mengenai celik kewangan dalam kalangan pekerja gig dan bagaimana agensi kerajaan boleh merapatkan jurang dalam pengetahuan.

“Jadi, perlu ada usaha yang diselaraskan dalam kalangan kementerian berkaitan perkara ini,” katanya kepada Bernama mengenai fokus ekonomi gig bagi Belanjawan 2024.

Mengenai fokus ekonomi sukan elektronik (e-sukan) bagi Belanjawan 2024, Mohd Afzanizam berkata, beliau mencadangkan e-sukan dijadikan sebagai daya tarikan pelancong memandangkan program Melawat Malaysia sepatutnya diadakan pada 2025.

“Program Melawat Malaysia yang sepatutnya diadakan pada 2025, perlu memasukkan e-sukan sebagai acara utama mereka.

“Ini akan melibatkan peruntukan untuk kementerian berkaitan seperti pelancongan dan belia dan bagaimana mereka bekerjasama untuk menganjurkan acara sebesar itu,” katanya.

Related Articles

Back to top button