Negeri

Dana Pendidikan Perpaduan Sarawak bantu golongan kurang berkemampuan sambung pendidikan

Mulai tahun hadapan, golongan kurang berkemampuan di Sarawak yang berhasrat untuk menyambung pendidikan tinggi akan diberikan bantuan khas.

Bantuan melalui inisiatif Dana Pendidikan Perpaduan Sarawak (DPPS) itu hasil kerjasama dengan sektor swasta yang turut disambut baik oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang bersetuju menjadi penaung kepada dana pendidikan tersebut.

berkata, objektif penubuhan dana tersebut akan membantu memberi biasiswa kepada pelajar negeri ini yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam negara.

“Bantuan kewangan itu akan diberikan kepada anak Sarawak yang memerlukan serta berbakat selain membentuk mereka menjadi pemimpin negeri pada masa akan datang.

“Sempena 60 tahun Sarawak bersama membentuk Malaysia dan menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030, adalah tepat pada masanya untuk sektor swasta untuk melaksanakan program untuk menyokong pembangunan negeri,” kata Pengerusi DPPS, Datuk Richard Lee pada sidang media di Kelab Sarawak, di Kuching pada Selasa.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, pemberian biasiswa pendidikan itu tidak dihadkan kepada mana-mana pelajar yang memerlukan serta layak dan berbakat, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Objektif dana itu bertujuan untuk membentuk modal insan yang suatu hari nanti akan berkhidmat untuk Sarawak pada masa akan datang. Kita tidak membezakan pelajar kerana latar belakang dan etnik yang berlainan, justeru ia terbuka kepada semua orang yang layak.

“Ia (dana) untuk pelajar yang menuntut di institusi pendidikan awam dan swasta dalam Malaysia. Satu jawatan kuasa pemilih akan dibentuk bagi menentukan kriteria untuk pemberian biasiswa tersebut,” tegasnya.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Abdul Aziz Datuk Husain yang juga merupakan Penasihat DPPS sementara itu berkata, setakat kini dana pendidikan tersebut meraih RM1.6 juta dan mensasarkan RM2 juta sebelum dilancarkan pada tahun hadapan.

Menurutnya dana tersebut disumbangkan usahawan seluruh negara, dan pihaknya mahu memastikan dana pendidikan itu dapat dilaksana secara berterusan, mapan dan memberi manfaat kepada negeri pada masa akan datang.

Related Articles

Back to top button