Parlimen

Dewan Rakyat lulus pindaan RUU Kesatuan Sekerja 2023

Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 melalui undian suara.

RUU itu bertujuan mengawal pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia yang secara amnya memperuntukkan tatacara dan proses dari segi pendaftaran, pembatalan dan urus tadbir kesatuan sekerja telah dibahaskan oleh 14 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, sebanyak 10 kali pindaan dilakukan dan terakhir dilakukan pada 2007, selaras perubahan sosioekonomi dan keperluan semasa.

“Kerajaan sentiasa mengambil inisiatif dalam memperbaharui undang-undang perburuhan bagi menjamin kesejahteraan pekerja dan keharmonian dalam perusahaan,” katanya ketika sesi penggulangan.

Tambah beliau, kepelbagaian kesatuan sekerja dijangka memberi kesan baik terutama kepada pekerja, selain memberi kebebasan kepada pekerja menyertai atau menubuhkan kesatuan sekerja mengikut kehendak mereka sendiri.

“Bagi memastikan keharmonian perusahaan dapat dikekalkan, sesuatu kesatuan dibenarkan untuk mengehadkan keanggotaannya di mana seseorang pekerja yang menganggotai kesatuannya, tidak dibenarkan untuk menganggotai kesatuan sekerja lain.

“Menjadi harapan kerajaan dengan pindaan Akta 262 ini, ia akan mewujudkan kesatuan sekerja lebih matang, progresif dan bersaing secara sihat bagi memastikan faedah pekerja dapat ditingkatkan,” katanya yang turut memaklumkan, RUU itu akan dikuatkuasakan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Related Articles

Back to top button