ekonomi

Geely bakal menyusul pelaburan komited RM32 bilion ke Malaysia

Perdana Menteri mendedahkan Syarikat automatif gergasi dunia Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd atau Geely merancang untuk meningkatkan lagi pelaburan di negara ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu disuarakan Pengerusi Geely Li Shufu di dalam pertemuan kunjungan hormat ke atasnya di Putrajaya pada petang Selasa.

Menurutnya, Geely juga akan meningkatkan penyertaan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta penyediaan tenaga mahir tempatan yang selari dengan keperluan industri pada masa hadapan selain memperkukuh Malaysia sebagai hub pengeluar kenderaan bagi tujuan eksport.

“Pertemuan ini adalah bukti bahawa Geely menyusul pelaburan komited berjumlah RM32 bilion yang saya umumkan sebagai sebahagian daripada hasil lawatan rasmi saya ke negara China pada akhir Mac tahun ini,” katanya.

Selain Li Shufu, turut serta dalam kunjungan hormat itu adalah ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pada Mac lalu, Malaysia meraih pulangan pelaburan dari China RM170.07 bilion selepas Anwar mengetuai deligasi ke negara itu.

Buat permulaan Geely akan melabur sebanyak RM2 bilion dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga RM32 bilion sebagai sebahagian daripada kerjasama syarikat tersebut dengan pengeluar kereta Malaysia, Proton.

Related Articles

Back to top button