Parlimen

Hampir 50,000 peserta IPR berpendapatan rendah terima manfaat sehingga 5 Oktober lalu

Sejumlah 128,124 permohonan di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) diterima Kementerian Ekonomi setakat 5 Oktober 2023 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 47,909 individu daripada kategori berpendapatan rendah layak untuk dipadankan dengan tiga inisiatif rintis IPR.

Menurut kementerian, tiga inisiatif rintis iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) telah dikenal pasti dapat membantu mengatasi isu utama seperti keterjaminan makanan, peluang pekerjaan dan kos sara hidup yang tinggi.

“Pelaksanaan IPR telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan melalui permohonan yang direkodkan menerusi laman sesawang IPR (www.ipr.ekonomi.gov.my).

“Senarai pemohon akan disemak silang dengan data eKasih, iDamak dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi memastikan pelaksanaan program ini benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu miskin tegar, miskin dan B40,” menurut kementerian itu dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Selasa.

Kementerian Ekonomi menjawab soalan Dr Richard Rapu @Aman Anak Begri (GPS-Betong) mengenai sumbangan IPR kepada peningkatan pendapatan golongan B40 serta jumlah penerima projek dan dana yang telah diluluskan bagi Sarawak pada tahun ini.

Menurut kementerian, menerusi inisiatif INTAN, sebanyak 1,020 peserta telah diluluskan bagi 16 lokasi berkeluasan 818 ekar dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM92,552,738 dengan tumpuan diberikan kepada tanaman strategik seperti cili dan jagung bijirin sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import.

“Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersedia untuk memberikan bantuan berbentuk input dan peralatan moden pertanian, latihan dan khidmat nasihat teknikal serta elaun sara hidup tempoh menunggu penuaian hasil tanaman,” jelasnya.

Bagi inisiatif INSAN, kerajaan menyediakan geran berbentuk bayaran sewaan mesin layan diri untuk tempoh dua tahun dan sehingga 5 Oktober 2023, sejumlah 81 peserta telah mendapat manfaat dan meraih purata jualan harian RM150 hingga RM400.

Kerajaan juga mengambil langkah untuk memperkenalkan IKHSAN bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap syarikat penyedia perkhidmatan serta pekerja asing dalam sektor yang dikenali sebagai 3D iaitu Dirty, Dangerous and Difficult (Kotor, Bahaya dan Sukar).

Melalui inisiatif ini, Kementerian Ekonomi akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal bagi kerja-kerja pembersihan di premis awam. – Bernama

Related Articles

Back to top button