Parlimen

Kadar keciciran pelajar sekolah tunjuk trend penurunan – Timbalan Menteri

Kadar keciciran pelajar di sekolah-sekolah negara ini menunjukkan trend menurun yang ketara sejak empat tahun lepas dari tahun 2019 sehingga 2022, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, kadar keciciran murid pada peringkat rendah menurun daripada 0.12 peratus pada tahun 2019 kepada 0.07 peratus pada 2022.

“Pada peringkat menengah pula, kadar keciciran menurun daripada 1.14 peratus pada tahun 2019 kepada 0.99 peratus pada 2022.

“Namun, KPM akan memuktamadkan data kadar keciciran murid bagi tahun 2023 selepas menerima maklumat enrolmen dari agensi selain KPM,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai kadar keciciran dari sistem sekolah dan pecahan sebab-sebab keciciran mengikut tahun, umum dan jantina dari tahun 2019 sehingga Jun 2023 bagi setiap negeri dan apakah langkah supaya mereka kembali bersekolah.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, bagi tempoh 2019 hingga 2022 di peringkat sekolah rendah, keciciran murid membabitkan Tahun Tiga, Empat dan Enam menunjukkan peningkatan manakala Tahun Dua dan Lima tiada keciciran murid serta penurunan dalam tempoh itu.

Bagaimanapun katanya, di peringkat sekolah menengah, berlaku peningkatan kadar keciciran murid bagi Tingkatan Dua dalam tempoh tahun 2019 hingga 2022.

“Manakala terdapat penurunan kadar keciciran yang membabitkan Tingkatan Tiga, Empat dan Lima dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Bagi kategori jantina pula katanya, di peringkat sekolah rendah menunjukkan tiada keciciran murid perempuan berbanding murid lelaki bagi tahun 2019 hingga 2022.

“Kadar keciciran murid lelaki menunjukkan trend penurunan dari tahun 2019 hingga 2022 iaitu 0.16 peratus pada 2019 kepada 0.09 peratus pada tahun 2022.

“Pada peringkat sekolah menengah pula, kadar keciciran murid lelaki menunjukkan penurunan berbanding kadar keciciran murid perempuan yang meningkat dari tahun 2019 kepada 2022.

“Pada tahun 2019, kadar keciciran murid lelaki mencatatkan 0.72 peratus berbanding 0.29 peratus pada 2022. Kadar keciciran murid perempuan pula mencatatkan 0.40 peratus pada tahun 2019 kepada 0.71 peratus pada 2022,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod dalam Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dari tahun 2019 hingga 2023, sebab utama murid berhenti adalah tidak berminat ke sekolah, bekerja, masalah keluarga, berkahwin dan sukar ke sekolah disebabkan faktor jarak.

Related Articles

Back to top button