ekonomi

Kerajaan dijangka tingkatkan peruntukan subsidi – Rafizi

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memaklumkan, kerajaan mungkin meningkatkan peruntukan subsidinya tahun hadapan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor Ke-28 “Raising the tide, lifting all boats” oleh Bank Dunia pada Selasa, beliau menjelaskan ia susulan kenaikan harga minyak yang seterusnya boleh membawa kepada subsidi tinggi bagi produk petroleum

Tambah Rafizi, perbelanjaan subsidi negara boleh meningkat lebih tinggi pada masa hadapan di tengah-tengah kenaikan harga tenaga global terutamanya sekiranya kerajaan tidak dapat meminimumkan jurang diesel bersubsidi dan yang tidak bersubsidi.

“Amaun yang kita bayar sekarang sebenarnya adalah kecil berbanding jumlah yang perlu kita bayar pada masa hadapan,” katanya.

Difahamkan, harga minyak mentah mencecah AS$80 setong bulan lepas dan para penganalisis menaikkan unjuran minyak mereka bagi 2024 kepada AS$100 setong.

Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan semalam melaporkan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan subsidi berjumlah RM55.443 bilion pada 2022, peningkatan 322.1 peratus atau RM42.309 bilion daripada RM13.134 bilion pada 2021.

Rafizi berkata kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan bagi subsidi menyeluruh yang mana ia tidak lagi mampan. Subsidi bagi produk petroleum merekodkan peruntukan tertinggi sebanyak RM45.184 bilion atau 81.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan.

Mengulas mengenai jangkaan harga minyak lebih tinggi tahun depan, beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan pantas untuk mengelakkan bil subsidi yang melonjak tinggi.

“Jangkaan (harga) minyak yang lebih tinggi bermakna kita perlu bertindak pantas kerana walaupun pada (purata) AS$80 setong, kita menyasarkan perbelanjaan subsidi sekitar RM50 bilion.

“Jadi, jika ia meningkat kepada AS$100 setong, bil subsidi akan meningkat (malahan) lebih tinggi. Dan (selagi) ada subsidi menyeluruh, ia akan menjejaskan penggunaan,” kata Ahli Parlimen Pandan itu dipetik.

Related Articles

Back to top button