Kerajaan komited pastikan mualaf mampu jadi mukalaf terbaik
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agensi agama dan pertubuhan dakwah di negara ini berkongsi pandangan dalam memastikan peluang memperoleh ilmu Islam tersedia dengan sebaiknya.
Menurutnya, langkah itu bagi membolehkan golongan mualaf mengambil kesempatan agar berlumba-lumba menimba ilmu Islam sebenar dengan penuh keterujaan.
“Islam merupakan agama indah yang mampu memberi kebahagiaan hakiki kepada setiap insan tanpa mengira kaum. Sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asli atau lain- lain, kedudukan kaya, miskin, berjawatan.
“Atau di mana mereka berada melalui panduan lengkap sebagai mana tertera di dalam al-Quran dan hadis,” katanya.
Teks ucapan perdana menteri dibacakan oleh timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Bangi pada Selasa.
Sementara itu Anwar berkata, kerajaan komited untuk memastikan mualaf mampu menjadi mukalaf terbaik melalui penganjuran aktiviti bermanfaat serta dapat memberi impak terbaik.
“Kerajaan juga sentiasa cakna terhadap perkembangan serta kemajuan mualaf dari semasa ke semasa dan mengiktiraf pencapaian yang diperoleh,” katanya.
Sementara itu Anwar turut menegaskan, penyebaran pemahaman Islam yang tepat dapat meningkatkan keyakinan Muslim terhadap agama serta mampu memberi kejernihan fikiran kepada bukan Islam agar tidak wujud salah tanggapan.