Semasa

Kilang beras di Kedah disita lepas disyaki sorok 180 tan beras tempatan

Sebuah kilang beras di Kedah disita kerana disyaki menyorok beras putih tempatan (BPT) seberat 180 tan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, berkata tindakan itu susulan serbuan dilakukan petugas khas Ops BPT yang menyerbu premis itu pada Isnin.

Tambahnya, kilang terbabit didapati menyorok bekalan beras bergred Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen.

“Mengesyaki kilang itu telah melakukan kesalahan menyimpan stok beras tanpa lesen, pasukan Task Force Khas bertindak menyita BPT yang berada di dalam gudang ini dengan hasil sitaan dianggarkan bernilai RM405,000.

“Sitaan dilakukan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996 P.U (A) 626,” katanya selepas mengetuai operasi itu.

Antara agensi dan jabatan yang terbabit dalam operasi itu adalah Kawalselia Padi dan Beras (KPB), polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS).

Foong Hin berkata, ia adalah sitaan pertama dalam tempoh Op BPT dilaksanakan yang setakat ini merangkumi pemeriksaan terhadap lapan pemborong dan enam pengilang di negeri ini.

Menurutnya, jika didapati bersalah, pengurusan kilang terbabit boleh didenda sehingga RM25,000 bagi kesalahan pertama dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras melalui notis secara bertulis boleh membatalkan atau menggantung lesen.

“Jangan ambil kesempatan kerana ini masanya kita berganding bahu untuk menjamin kecukupan bekalan makanan yang berpatutan untuk rakyat, bukannya menekan pengguna atau pesawah demi mengaut keuntungan lebih,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button