Wisma Putra minta rakyat Malaysia tangguh perjalanan ke Palestin-Israel
Kementerian Luar (Wisma Putra) menasihatkan pihak yang ingin melakukan perjalanan ke kawasan konflik supaya menangguhkan perancangan mereka berikutan keadaan keselamatan yang masih meruncing ekoran pertempuran antara rejim zionis dan Palestin.
“Badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang masih berhasrat untuk ke kawasan berkenaan dinasihatkan untuk merujuk perancangan mereka kepada kementerian ini terlebih dahulu,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.
Ketika ini terdapat lima rakyat Malaysia iaitu seorang wanita dewasa dan seorang ibu bersama tiga anaknya di Tebing Barat.
Kedutaan Besar Malaysia di Amman sentiasa berhubung dengan mereka, menurut kenyataan itu.
Wisma Putra menasihatkan mana-mana pihak atau warganegara Malaysia yang mempunyai maklumat keberadaan saudara mara atau kenalan yang masih berada di kawasan konflik untuk berhubung dengan kementerian bagi membolehkan bantuan dihulurkan sekiranya perlu.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata Malaysia sangat kesal dengan peningkatan jumlah korban dan kecederaan orang awam dan kemusnahan ekoran pertempuran yang berlarutan sejak 7 Oktober lepas.
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel mengebom secara keterlaluan dan sewenang-wenangnya kawasan-kawasan awam di samping tindakan rejim menyekat bekalan asas air, elektrik dan makanan,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dan menyambut baik ketetapan sebulat suara Dewan Rakyat pada Isnin mengenai Palestin termasuk gesaan supaya Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa memberi tekanan bagi menghentikan segala pertempuran.
“Dalam konteks ini, Malaysia turut kesal dengan kegagalan UNSC mencapai persetujuan dalam perkara ini,” katanya.
Mengambil kira situasi kritikal pada masa ini, katanya masyarakat antarabangsa perlu menyalurkan segera bantuan kemanusiaan seperti bekalan asas dan perubatan, sambil menambah rejim Israel tidak berhak untuk menyekat saluran bantuan kemanusiaan.
Sebagai langkah awal, Wisma Putra dalam proses untuk menyalurkan RM1 juta untuk sumbangan kemanusiaan awal dengan segera melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin.
Orang awam, agensi dan pertubuhan yang ingin menyumbang melalui AAKRP boleh berbuat demikian di pautan https://forms.gle/PQiA5weQESnCB8pC8. – Bernama