Parlimen

Ahli Parlimen kemuka usul bincang isu 180 tan beras disorok

Satu usul bagi membincangkan isu penyorokan 180 tan metrik beras putih tempatan (BPT) bernilai RM 405,000 di Kedah telah dikemuka Ahli Parlimen Sungai Petani di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dr Mohammed Taufiq Johari dalam satu sidang media berkata, beliau berharap usul itu disegerakan kerana ia memerlukan penjelasan serta siasatan yang menyeluruh agar dapat diselesaikan dengan segera.

“Ini perkara berkenaan dengan kepentingan orang ramai kerana isu kekurangan beras ini telah menjejaskan rakyat Malaysia yang rata-ratanya menggunakan beras sebagai sumber makanan ruji utama, dan penyorokkan beras berskala besar ini memberi kesan kepada mereka,” katanya.

Usul itu dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pada 9 Okt lalu, sebuah kilang di Kedah disita kerana disyaki menyorokkan BPT seberat 180 tan metrik dengan hasil sitaan dianggarkan bernilai RM405,00.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Fong Hin berkata dalam serbuan oleh pasukan petugas khas mendapati beras bergred Super Special Tempatan 5% (SST5) ditemui dalam kampit jumbo disorok dalam gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996, jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 atau digantung lesen.

Terdahulu ketika membangkitkan perkara tersebut, Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor berkata usul tersebut kini dalam pertimbangan Speaker Johari Abdul.

“Keputusan dibuat oleh Speaker, sekiranya Speaker lulus perkara 18 (1) yang dimohon oleh Sungai Petani, baru dibenarkan (baca usul tu), sementara itu kita tunggu keputusan Speaker,” kata Ramli.

Related Articles

Back to top button