Politik

Ahli Parlimen PN nyata sokongan terhadap PM Anwar

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, sokongan yang diberikan itu adalah bertujuan untuk mengurangkan beban hidup yang dihadapi oleh pengundinya dalam menangani isu kos sara hidup.

Iskandar daripada Perikatan Nasional (PN) berkata, keputusan itu dibuat untuk melihat sama ada Anwar akan menepati janjinya berhubung sejumlah peruntukan untuk diberikan kepada Ahli Parlimen.

Beliau mendakwa Anwar hanya akan menyalurkan peruntukan itu kepada Ahli Parlimen yang menyokong dasar Kerajaan Perpaduan.

“Saya percaya bahawa ekonomi mesti dipertingkatkan bagi memastikan negara maju dan rakyat sejahtera.

“Oleh itu, saya akan menyokong segala usaha Perdana Menteri untuk terus mengukuhkan ekonomi negara ini,” katanya memetik laporan The Star.

Terdahulu, Anwar mengingatkan wakil rakyat pembangkang supaya berunding dengan kerajaan sekiranya mahu peruntukan disalurkan kepada mereka.

Iskandar walaubagaimanapun berkata, beliau masih tetap setia kepada partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya sesekali tidak akan mengkhianati parti saya (Bersatu) dalam apa jua keadaan.

“Saya menjunjung prinsip kesetiaan dan tetap setia kepada parti,” katanya.

Walaupun berdepan dengan risiko tindakan tatatertib oleh parti, Iskandar berkata, beliau tidak dapat menahan diri lagi apabila melihat kawasannya ketinggalan dan terabai hanya disebabkan oleh perbezaan politik.

“Justeru, saya membuat keputusan ini bagi menyokong inisiatif kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button