Pilihanraya

Dewan Rakyat terima pemakluman kekosongan kerusi Parlimen Kemaman

Dewan Rakyat telah menerima pemakluman kekosongan kerusi Parlimen P040 Kemaman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melalui satu kenyataan berkata, sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan berkenaan.

“Dimaklumkan bahawa saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat telah menerima surat bertarikh 11 Oktober 2023 daripada Pengerusi SPR yang memaklumkan telah berlaku kekosongan luar jangka bagi Parlimen Kemaman.

“Sehubungan dengan itu, pihak SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan,” katanya kenyataan itu.

Pada 26 Sept lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili PAS setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Che Alias dan PAS tidak mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari selepas keputusan itu selaras dengan Seksyen 36A Akta 5.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu pada 17 Okt ini.

Mesyuarat khas itu, yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dijangka membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti hari bagi writ pilihan raya, penamaan calon serta pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Related Articles

Back to top button