Parlimen

Kerajaan bakal bentang RUU berkaitan tender terbuka kerajaan pada suku kedua 2024

Kerajaan berhasrat menggubal akta khusus berkaitan tender terbuka kerajaan, kata Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan.

Pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (RUU KATF 2023) di Dewan Rakyat pada Rabu, beliau menjelaskan akta itu yang dikenali sebagai Akta Perolehan Kerajaan (Government Procurement Act) dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku kedua 2024.

“Apabila disebut tentang isu-isu tender terbuka… skandal itu dan ini, maka ini menjadi hasrat Kementerian Kewangan untuk menggubal akta khusus,” katanya menjelaskan segala pengurusan berkaitan tender terbuka kerajaan ketika ini tidak perlu dimasukkan dalam RUU KATF 2023.

Sementara itu, menyentuh mengenai RUU KATF 2023, beliau berkata penggubalan RUU tersebut akan memberi kesan positif ke atas kestabilan penarafan kredit berdaulat Malaysia.

Ia kerana RUU itu dapat mengurangkan pendedahan terhadap risiko dengan menangani kelemahan dan meningkatkan kapasiti fiskal bagi menguruskan sebarang kejutan.

“Antara kriteria yang jelas oleh agensi penarafan kredit dalam meningkatkan penarafan sedia ada negara termasuk hasil, mengekalkan penurunan beban hutang serta meningkatkan kemampuan untuk menurunkan defisit,” katanya.

RUU KATF 2023, kemudiannya diluluskan dengan lebih suara bersetuju semasa persidangan yang dipengerusikan oleh Timbalan Yang Dipertua Alice Lau Kiong Yieng dengan 17 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Turut diluluskan adalah Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) (Pindaan) 2023.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju dengan 16 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Related Articles

Back to top button