SemasaUncategorized

Kerjasama Malaysia-Thailand tepat pada masa, kata penganalisis

Seorang pakar politik dan hubungan antarabangsa menyifatkan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin dapat merancakkan lagi kerjasama dua hala sektor perdagangan, keselamatan serta pertanian Malaysia-Thailand.

Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dipetik temu bual bersama Astro AWANI pada Rabu berkata, ia juga bakal memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara yang telah mempunyai hubungan sekian lama.

“Perdagangan, memang kita rakan dagangan kedua terbesar Thailand selepas Singapura, dalam konteks itu, kita nampak ada kepentingan besar dalam merancakkan lagi perdagangan.

“Kita tahu hubungan rakyat di Selatan Thailand dengan negara ini amat akrab, kita juga memainkan peranan besar tentang keselamatan terutama di Selatan Thailand.

“Ada juga dengar-dengar penyelesaian ingin dicapai dalam usaha Malaysia sebagai broker kepada keamanan antara puak pemisah dengan kerajaan Thailand.

“Dalam konteks ini peranan Malaysia sangat penting kepada Thailand, dari segi perdagangan, hubungan rakyat dan keselamatan yang memerlukan kerjasama erat dua-dua negara untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya pada temu bual itu.

Anwar dan Srettha mengadakan mesyuarat dua hala di Kompleks Perdana Putra, di Putrajaya semalam.

Kedua-dua pemimpin kemudian bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas peringkat tertinggi bagi mempertingkatkan kerjasama dalam beberapa bidang tertentu.

Sementara itu tambah Mohd Azizuddin, kerjasama antara Malaysia-Thailand juga tepat pada masanya ketika negara berdepan isu keselamatan makanan memandangkan Thailand terkenal sebagai negara pengeksport beras, justeru perlu ada kerjasama di antara kedua-dua negara dalam membantu memperkukuhkan industri pertanian di negara ini.

“Dalam konteks Malaysia, perkara paling utama kedaulatan makanan, dalam sektor ini Thailand boleh bantu kita dapat meningkatkan dan memastikan keterjaminan import beras Thailand ke Malaysia.

“Mungkin ada kerjasama meningkatkan kemampuan Malaysia mengeluarkan beras dalam negara, saya tidak pasti jika Thailand ada peranan untuk bantu kita,” tambahnya lagi.

Related Articles

Back to top button