Semasa

MOSTI bangunkan kod etika tadbir urus kecerdasan buatan

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sedang membangun kod etika dan tadbir urus kecerdasan buatan (AI), maklum menterinya Chang Lih Kang.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau memaklumkan ia dijalankan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia, wakil agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pihak industri

Kod etika serta tadbir urus itu kemudian akan menjadi asas kepada pengawalseliaan AI dalam negara dan dijangka siap pada 2024.

Pada masa sama, katanya, Mosti meneliti keperluan mewujudkan rangka kerja perundangan dan Akta AI.

“Minggu ini, dalam sidang Dewan Rakyat ada persoalan dibangkitkan mengenai pemantauan penggunaan teknologi AI iaitu satu teknologi yang kompleks dan proses pengawalan dan pemantauannya melibatkan pelbagai aspek seperti teknikal, perundangan, etika, polisi serta standard/piawaian.

“Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 mengandungi tujuh Prinsip AI yang bertanggungjawab dan (ia) senarai panduan bagi membimbing pembangunan AI yang dipercayai serta bertanggungjawab seterusnya dapat melindungi hak dan privasi seseorang individu,” katanya.

Selain itu, Jabatan Standard Malaysia (JSM) turut menubuhkan Jawatankuasa Cermin Kebangsaan bagi menghasilkan standard AI kebangsaan.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Mimos dan dianggotai wakil kementerian, agensi, akademia serta industri.

“Penggunaan standard dan perundangan saling melengkapi antara satu sama lain.

“Kebergantungan kepada aspek perundangan semata-mata dalam pengawalan dan pemantauan teknologi AI akan merencatkan inovasi teknologi ini.” tambah Ahli Parlimen Tanjong Malim itu lagi.

Related Articles

Back to top button