Semasa

Syaraikat penerbangan tambang rendah, MyAirline gantung operasi berkuat kuasa hari ini

MYAirline Sdn Bhd menggantung operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan yang ketara.

Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, keputusan itu diambil berikutan tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula pemegang saham syarikat penerbangan itu.

“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi kami.

“Kami telah berusaha tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini.

“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” menurut kenyataan itu.

Namun begitu, MYAirline berkata, ia akan terus komited untuk membantu mereka yang terjejas menghadapi situasi tersebut dan menasihati penumpang yang terkesan supaya tidak pergi ke lapangan terbang dan mencari pengaturan perjalanan alternatif ke destinasi mereka.

“Sila hubungi kami di [email protected], dan pasukan sokongan kami akan sedia untuk memberikan bantuan mereka,” katanya.

MYAirline juga berkata, lembaga pengarah, pemegang saham dan MYAirline akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini, syarikat penerbangan itu tidak dapat memberi komitmen pada sebarang garis masa.

“Kami sekali lagi memohon maaf yang tidak terhingga atas sebarang kesulitan dan ketidakselesaan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk menyediakan sebarang makluman yang tersedia,” tambahnya.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengarahkan syarikat penerbangan tambang murah MYAirline yang menggantungkan operasinya bermula hari ini supaya membantu para pengguna yang terjejas.

Bantuan segera ini termasuk membayar balik duit tiket bagi penumpang yang terkandas susulan keputusan mereka menggantung operasi, kata MAVCOM.

Related Articles

Back to top button