Semasa

5 kilang beras di Kedah kena serbu SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis menyerbu tiga buah kilang beras di Kedah.

Ia menjadikan keseluruhan lima kilang beras diperiksa di negeri itu setakat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata dalam serbuan semalam pihaknya tidak melihat kepada isu penyorokan beras tetapi lebih kepada isu penyelewengan subsidi yang berpotensi mempunyai unsur rasuah.

“Perspektif SPRM adalah lebih kepada kesalahan-kesalahan rasuah yang mungkin berlaku terutama jika melibatkan dana wang kerajaan berkaitan subsidi sekiranya ia diseleweng,” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas Program Perkongsian Awam Swasta Fasa Dua: Cabaran Bersama Integriti Dalam Menangani Jenayah di Kuala Lumpur, beliau turut menegaskan pihaknya tidak menyasarkan mana-mana pemimpin atau kerajaan negeri dalam operasi dijalankan.

“SPRM tidak sasarkan mana-mana ahli politik atau kerajaan negeri dalam isu (serbu kilang beras di Kedah) kerana tugas kami adalah untuk meneliti sebarang maklumat dan aduan yang diterima,” katanya.

Menurut Azam, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dengan melihat kepada kesalahan jenayah serta aspek tatakelola dalam pengagihan subsidi.

Sementara itu, sumber SPRM dipetik laporan media memberitahu siasatan berkait penyelewengan pemberian subsidi kepada petani yang menjual beras tempatan ke kilang yang dilesenkan.

“Penyelewengan dalam tuntutan subsidi ini disyaki berlaku apabila jumlah berat padi yang dijual di kilang tidak sama dengan nilai subsidi yang dibayar kepada petani,” katanya sambil menambah resit pembelian dan jumlah berat padi disyaki sengaja dipalsukan dengan melipatgandakan jumlah jualan.

SPRM juga mendapati ada pengilang yang disyaki mencampurkan beras tempatan dengan beras import untuk dijual pada harga import dan keuntungan diraih adalah jauh lebih besar berbanding harga beras tempatan yang dikawal kerajaan.

Sumber itu turut memaklumkan punca bekalan beras tempatan berkurangan adalah dipercayai akibat tindakan pengilang menyorokkan beras tempatan kononnya untuk menunggu pelarasan harga oleh kerajaan atas alasan ia disimpan kerana tiada ejen yang mahu membelinya.

Related Articles

Back to top button