Semasa

Perdana Menteri sampaikan penghargaan atas ketekunan luar biasa warga Perbendahaan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan terhadap warga Perbendaharaan yang telah berkorban dan bertungkus lumus menyiapkan laporan ekonomi, fiskal dan Belanjawan 2024.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan (MoF) semalam, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan pasukan di Perbendaharaan sebagai luar biasa dan tekun.

“Ada yang tidak balik rumah, ayah sakit pun tangguh sekejap, hari lahir anak pun tak dapat diadakan acara. Jadi itu tahap pengorbanan staf untuk siapkan laporan ekonomi, fiskal dan belanjawan.

“Jadi, tidak akan ada kekuatan itu, pencapaian itu tanpa kerjasama seluruh keluarga Perbendaharaan termasuk pasukan keselamatan,” katanya.

Turut hadir bersama Anwar bagi tinjauan itu adalah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, dua Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Anwar dijangka akan membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat petang ini.

Pakar ekonomi terkemuka, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai dalam satu catatan disiar media pada 2 Oktober lalu menyifatkan Belanjawan 2024 akan menjadi belanjawan mencabar untuk disediakan, tetapi sangat menarik kerana akan menjadi penentu arah masa hadapan ekonomi negara untuk dua dekad ke hadapan.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan akan terus mendapat peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2024.

Related Articles

Back to top button