AGC akan jawab tuntutan saman Goldman Sachs
Jabatan Peguam Negara (AGC) akan menyediakan jawapan “dalam ruang lingkup undang-undang” berhubung saman Goldman Sachs Group Inc terhadap kerajaan Malaysia.
AGC dalam satu kenyataan berkata, kepentingan rakyat Malaysia adalah perkara utama untuk Putrajaya.
“Kerajaan Malaysia menafikan semua dakwaan terkandung dalam permintaan untuk timbang tara, kerana ia menggambarkan tatakelola kerajaan Malaysia secara salah,” katanya kenyataan tersebut
Terdahulu, Goldman Sachs Group Inc memfailkan saman timbang tara terhadap Putrajaya , saman itu difailkan di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London pada Rabu.
Bank berpangkalan di New York itu mendakwa kerajaan Malaysia “melanggar obligasi untuk mengkreditkan aset dengan sewajarnya berdasarkan jaminan yang diberikan oleh Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian kami dan untuk mendapatkan semula aset lain”.
Ia juga mendakwa eksekutif bank itu “semakin kecewa” dengan tuntutan kerajaan supaya perjanjian itu diolah semula supaya “penalti yang lebih berat” dikenakan.
Bagaimanapun, Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB Johari Ghani dipetik laporan media mempersoal tindakan Goldman Sachs dengan menyifatkan ia sebagai “pramatang” dan dilakukan “tanpa pertimbangan sewajarnya terhadap prasyarat yang diperlukan”.
Johari menyifatkannya sebagai “percubaan untuk mengurang dan mengalihkan perhatian” daripada kewajipannya membuat pembayaran interim kepada kerajaan sebanyak USD250 juta mengikut perjanjian dimeterai.