Parlimen

Ahli Parlimen PN umum sokong PM Anwar beri kelebihan kepada kerajaan di Dewan Rakyat

Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) pada Khamis mengumumkan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim

Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bersatu-Kuala Kangsar) berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

“Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, saya menyokong perdana menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau sementara itu menambah, biarpun mungkin berdepan risiko tindakan disiplin oleh parti, Iskandar Dzulkarnain berkata beliau tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terus terbiar dan ketinggalan hanya semata-mata kerana perbalahan naratif politik.

“Saya dengan ini mengambil keputusan untuk menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan kebajikan rakyat negara ini, sehingga Pilihan Raya Umum yang seterusnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan pengumuman Iskandar Dzulkarnain itu memberi kelebihan dan mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Perpaduan di Parlimen.

“Kerajaan Pusat sekarang ada 147 kerusi, kurang satu kerusi untuk dapat majoriti dua pertiga. Jadi, dengan satu sokongan ini, apabila tiba masanya untuk membuat keputusan, jika dia menambah satu lagi sokongan menjadikan dua pertiga untuk meluluskan satu RUU.

“Saya fikir itu tidak terkesan anti lompat parti sebab dia bukan lompat parti, dia bebas untuk menyokong mana-mana RUU,” kata Saarani.

Related Articles

Back to top button