Negeri

Aminuddin optimis N9 mampu capai nilai pelaburan baharu RM5 bilion tahun ini

Menteri Besar Negeri Sembilan yakin sasaran Kerajaan Negeri untuk mendapatkan nilai pelaburan baharu berjumlah RM5 bilion tahun ini akan dapat dicapai.

Datuk Seri Aminuddin Harun ketika penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban pada Khamis berkata, keyakinan itu berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Walaupun setakat suku kedua tahun ini, Negeri Sembilan hanya berjaya memperoleh 89 projek yang diluluskan oleh MIDA dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.95 bilion, terdapat beberapa projek lain yang masih dalam proses rundingan.

“Berdasarkan rundingan berkenaan dan unjuran Invest NS sehingga September lalu, Negeri Sembilan berkemungkinan mampu mencapai RM5 bilion jumlah pelaburan tahun ini.

“Kerajaan negeri sentiasa mengamalkan dasar terbuka dalam mengalu-alukan kemasukan pelabur terutamanya pemain industri berteknologi tinggi selain giat mengadakan sesi dialog bersama pelabur sedia ada serta yang berpotensi bagi mengembangkan operasi di Negeri Sembilan,” katanya.

Aminuddin yang juga ADUN Sikamat berkata, antara projek yang kini sedang dalam rundingan termasuk projek tenusu Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) di Gemas, Tampin yang berjumlah RM1 bilion.

“Selain itu pelaburan membabitkan syarikat Farm Fresh di Bandar Enstek Nilai berjumlah RM100 juta dan beberapa lagi pelaburan yang lain,” katanya.

Sementara itu, ketika menyentuh mengenai rancangan penerokaan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu, beliau menegaskan ia akan dijalankan secara terancang mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak sebarang pencemaran.

“Sehingga kini kerajaan negeri belum memberikan sebarang kelulusan kepada mana-mana pihak bagi aktiviti melombong unsur nadir bumi ini,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button