Dewan Rakyat lulus pindaan Akta 645 agar lebih efisien
Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan rang undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2006 (Akta 654).
RUU SPAN (Pindaan) 2023 itu yang bertujuan memperkemas tadbir urus dan memperkukuh integriti suruhanjya terbabit diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 25 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan.
Terdahulu Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Datuk Seri Huang Tiong Sii ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua berkata, selepas 16 tahun Akta itu dikuatkuasakan, beberapa ruang penambahbaikan telah dikenal pasti bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan perkembangan semasa dan keperluan masa hadapan industri perkhidmatan air negara.
Penambahbaikan itu termasuk memantapkan tadbir urus SPAN agar lebih efisien dan meningkatkan keupayaan kawal selia agar penguatkuasaan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.
“Sejajar dengan inisiatif global dan nasional dalam merealisasikan pembangunan lestari, dasar-dasar baharu berasaskan ekonomi kitaran, kecekapan penggunaan, perlindungan pengguna dan penglibatan awam dan swasta telah diperkenalkan.
“Oleh yang demikian, penjajaran akta ini dengan dasar-dasar baharu penting untuk memastikan ia sentiasa relevan dengan perkembangan semasa serta keperluan masa hadapan industri perkhidmatan air negara,” katanya.
Beliau turut memberitahu, melalui RUU itu juga, tempoh jawatan anggota suruhanjaya dipendekkan daripada 10 tahun kepada enam tahun.
“Tujuan pindaan ini adalah bagi mewujudkan fleksibiliti dalam urusan pelantikan anggota suruhanjaya yang berpengalaman dan tidak terikat dengan pelantikan sedia ada bagi suatu tempoh yang panjang,” katanya.