Semasa

Kawasan pembangkang diberi peruntukan dalam bentuk projek pembangunan, bantuan terus

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menolak dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan menganaktiri pembangkang.

Melalui satu hantaran di laman sosial X pada Khamis menegaskan kerajaan tetap menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang dalam bentuk projek-projek dan bantuan terus kepada rakyat di sesebuah kawasan.

Malah jelasnya, mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang mahu memohon peruntukan daripada kerajaan juga boleh terus mengisi borang dan nyatakan sebab sesuatu permohonan itu dibuat.

“Mereka boleh terus isi dan tunjuk sama ada jambatan, jalan atau longkang perlu dibaiki. Jadi peruntukan itu memang akan disalurkan terus kepada rakyat,” katanya.

Rafizi sementara itu menjelaskan, perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang sebenarnya ialah mengenai peruntukan Ahli Parlimen untuk memohon wang bagi tujuan-tujuan politik wakil rakyat.

Mengulas lanjut perkara itu beliau memberitahu, kerajaan bersetuju untuk memberikan peruntukan, namun perlu melalui proses rundingan terlebih dahulu bagi memastikan peruntukan tersebut selari dengan dasar tata kelola yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kita nak pastikan tata kelola itu kena (bersesuaian dengan permohonan) contohnya kerajaan beri RM1 juta tetapi peruntukan itu tidak sampai kepada rakyat. Akhirnya digunakan oleh ahli Parlimen untuk buat program masing-masing,” ujarnya.

Rafizi sementara itu turut menjelaskan bahawa kerajaan sudah menghantar surat kepada pembangkang supaya proses rundingan diadakan, namun pembangkang jelasnya tidak menunjukkan kesungguhan kepada tawaran itu.

“Kenapa pembangkang tak nak mulakan proses rundingan? Adakah pembangkang takut dengan syarat-syarat tata kelola yang menghalang mereka daripada berbelanja sesuka hati bagi tujuan politik daripada peruntukan wang rakyat itu?” soalnya.

Sebagai rekod, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang ditugaskan untuk merundingkan soal agihan peruntukan kepada pembangkang baru-baru ini mendedahkan hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang datang berjumpa membincangkan soal peruntukan.

Related Articles

Back to top button