Semasa

Kerajaan belum cadang haramkan TikTok Shop – Fahmi Fadzil

Kerajaan tidak bercadang mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok Shop sebelum penelitian sepenuhnya dilakukan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil merujuk keputusan dibuat pemerintah Indonesia mengharamkan penjualan di laman sosial itu bagi melindungi peniaga di luar talian dan pasaran, serta menghalang penggunaan data peribadi dalam kepentingan perniagaan berkata, keadaan di Malaysia dan negara itu adalah berbeza.

“Semestinya keadaan di Malaysia berbeza daripada di Indonesia. Saya telah meminta beberapa maklumat daripada pihak TikTok berkenaan penetapan harga, kedaulatan dan perkongsian data serta beberapa isu lain yang timbul membabitkan platform berkenaan untuk memahami keadaan sepenuhnya operasi TikTok Shop.

“Mereka akan kembali dengan maklum balas. Kita akan teliti dulu. Sekiranya perlu berdasarkan maklumat kita terima, apa tindakan yang perlu ambil kita akan buat selepas itu,” katanya.

Fahmi ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran “Malaysia First 5G Autonomous Warehouse” di DHL Supply Chain di Shah Alam.

Sementara itu Fahmi turut menjelaskan pematuhan operasi TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan dan perkara itu telah disampaikan kepada pihak TikTok.

Sehubungan itu pihaknya telah meminta TikTok untuk bertemu dengan kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu depan bagi mengadakan perbincangan berhubung beberapa perkara.

Related Articles

Back to top button