Nasional

Rakyat Malaysia dinasihat tidak ke Gaza, elak jadi mangsa ‘scammer’ – KPN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta rakyat negara ini untuk menggunakan saluran dan medium yang aman sejahtera dalam menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata semua lapisan masyarakat yang ingin menyalurkan sebarang bentuk bantuan juga dinasihat agar menyemak kesahihan wakil yang menguruskan sumbangan serta mengambil langkah teliti bagi mengelak daripada menjadi mangsa ‘scammer’.

“Masyarakat perlu berwaspada untuk mengelak daripada terjerat dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang cuba mengaut keuntungan…iringan doa dan sokongan moral rakyat Malaysia, merupakan solidariti terbaik kepada warga Palestin yang ditindas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman juga akan meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak dikesan cuba mengambil kesempatan.

Razarudin turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat pergerakan ke kawasan konflik atas faktor keselamatan.

Katanya, PDRM telah menggerakkan elemen berkaitan khususnya cawangan khas bagi memastikan tiada penglibatan rakyat Malaysia sehingga mewujudkan risiko keselamatan diri.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, iaitu pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Oktober lepas, telah mengorbankan ratusan nyawa di kedua-dua belah pihak. – Bernama

Related Articles

Back to top button