Semasa

Tindakan MYAirline tak beretika, sebabkan kesulitan kepada penumpang

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menyelar penggantungan mengejutkan operasi MYAirline dengan menyifatkannya sebagai tindakan tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, tindakan itu telah menjejaskan rancangan perjalanan penumpang di seluruh negara termasuk di Sarawak.

“Pagi tadi, kita lihat ramai penumpang bersedia untuk terbang bersesak-sesak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), mengharapkan untuk terbang hanya selepas menerima berita bahawa operasi telah dihentikan.

“Ini telah menyebabkan semua jenis kesulitan dan juga kerugian ekonomi kepada orang ramai dan sama sekali tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan.

MYAirline pada Khamis mengeluarkan kenyataan mengenai tindakannya yang terpaksa mengambil ‘keputusan amat sukar’ akibat tekanan kewangan yang ketara dan menggantung operasinya sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula syarikat penerbangan itu.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook sebagai respon kepada tindakan itu menyatakan rasa terkejut dan kecewa kerana ia menjejaskan 125,000 penumpang, selain kerugian bernilai RM20 juta berdasarkan jualan tiket sehingga Mac tahun depan.

Sementara itu, Dr Yii meminta semua kementerian yang berkaitan termasuk Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengambil tindakan untuk melindungi hak penumpang.

Beliau turut menggesa MYAirline untuk memastikan hak pengguna menerima pampasan penuh kerana masalah yang dihadapi ini bukan kesalahan daripada pengguna.

Related Articles

Back to top button