Politik

Ahli Parlimen PN sokong kepimpinan Anwar atas kehendak sendiri

Keputusan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan dibuat atas tekanan tertentu seperti didakwa pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas isu tersebut sebaliknya menjelaskan, sokongan diberikan Ahli Parlimen Parti Bersatu itu dibuat atas kerelaanya sendiri.

“Kabinet dimaklumkan pagi tadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak pernah menelefon dan bertemu Perdana Menteri, apatah lagi mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri mengenai sokongannya kepada kerajaan tanpa beliau sendiri keluar (ambil tindakan sokong kerajaan).

“Perkara ini atas kehendak peribadi beliau,” katanya dalam satu sidang media di Lobi Parlimen pada Jumaat.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Jumaat mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal menyokong kerajaan.

Sebagai rekod, Iskandar Dzulkarnain dalam satu kenyataan pada Rabu menegaskan, keputusan menyokong pentadbiran Anwar dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

“Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, saya menyokong YAB Perdana Menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” menurutnya.

Beliau turut berkata, tidak mahu melihat rakyat dikawasan diwakilinya terus menjadi mangsa akibat kemelut politik berpanjangan.

Related Articles

Back to top button