Nasional

Belanjawan 2024: 33 projek RTB bakal dilaksana dengan kos RM11.8 bilion

Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berusaha menangani isu banjir yang menjadi kebimbangan rakyat setiap kali monsun melanda.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat pada Jumaat, beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan 33 Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Berkeutamaan Tinggi akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan melibatkan kos RM11.8 bilion.

Antara projek terbabit adalah termasuk Rancangan Tebatan Banjir di Lembangan Sungai Pahang, Pahang, Sungai Langat Fasa 2 (Selangor), Sungai Jelai, Kuala Pilah (Negeri Sembilan) dan Sungai Likas, Kota Kinabalu (Sabah).

“Selain itu, Kuching Fasa 2 (Sarawak), Baling Fasa 2 (Kedah) dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan Fasa 2 (Kelantan),” katanya.

Anwar juga berkata, Surat Setuju Terima (SST) bagi 24 projek dijangka dikeluarkan tahun ini bermula Oktober tahun ini melibatkan kos keseluruhan RM5.1 bilion manakala bakinya akan dikeluarkan SST pada suku tahun pertama 2024.

Sementara itu, kerajaan jelasnya akan menyediakan RM20 juta kepada 150 pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan parit dan longkang yang rosak bagi mengurangkan risiko air bertakung dan banjir kilat.

Selain itu, bagi mengekang tragedi tanah runtuh, kerajaan menyediakan RM563 juta bagi pembaikan cerun seluruh negara termasuk untuk program pemantauan, pencegahan dan pelaporan serta amaran awal melibatkan lebih 2,000 cerun yang berisiko tinggi.

Related Articles

Back to top button