Semasa

Fahmi Fadzil sambut baik semua inisiatif dalam Belanjawan 2024

Menteri komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menyambut baik semua inisiatif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Belanjawan 2024 yang dibentangkan semalam.

Mengulas pengumuman penurunan duti hiburan kepada sifar bagi artis tempatan dan daripada 25 peratus kepada 10 peratus untuk artis antarabangsa yang membuat persembahan di negara ini, Fahmi berkata langkah itu mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi terutama melalui aktiviti pelancongan.

Selain itu jelasnya, pengumuman beberapa dana termasuk RM900 juta di bawah seliaan Bank Negara Malaysia untuk perusahaan kecil dan sederhana dijangka akan menggalakkan golongan itu mengguna pakai aplikasi serta teknologi 5G.

“Ini kerana kita jangka capaian bagi 5G dapat mencecah 80 peratus menjelang hujung tahun ini dan dengan rangkaian yang luas, kita harap lebih banyak, bukan hanya rakyat biasa tetapi juga syarikat terutama PKS, dapat memanfaatkan sepenuhnya,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Rakyat sebagai mengulas belanjawan itu.

Menyentuh peruntukan RM25 juta untuk memperkasa peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) , Beliau berkata ia akan membantu peniaga kecil dengan pengetahuan teknologi komunikasi dan maklumat (TMK) dan e-dagang.

“Peruntukan RM25 juta itu akan digunakan untuk membolehkan PEDi memacu ekonomi digital dalam kalangan masyarakat setempat,”

“Sudah pasti peruntukan sejumlah RM25 juta untuk memperkasa PEDi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri akan dapat menjadi pemangkin kepada ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Anwar di Dewan Rakyat, pada Jumaat, peranan PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri juga akan terus diperkasa untuk menyokong pengusaha kecil menjual produk secara dalam talian dengan peruntukan keseluruhan RM25 juta.

Related Articles

Back to top button