Nasional

Pelaburan masa depan, bidang pendidikan dapat peruntukan tertinggi

Menyedari pendidikan adalah pelaburan masa depan yang sangat penting, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat terus memberi tumpuan untuk memperkukuh bidang tersebut.

Ia dapat dilihat apabila pendidikan kekal sebagai komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2024 yang dibentang di Dewan Rakyat semalam.

Dalam pengumumannya, Anwar yang juga Menteri Kewangan memperuntukkan RM58.7 bilion kepada bidang pendidikan berbanding RM55.2 bilion pada tahun 2023.

Manakala sejumlah RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara yang merangkumi RM930 juta bagi kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 buah sekolah merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.

“Sebanyak RM1 bilion pula adalah untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah yakni sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah Tamil dan Cina termasuk sekolah pendidikan khas, dengan memberi tumpuan kepada keperluan pelajar autisme.

“Sebanyak 26 buah sekolah baharu akan mula dibina dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM2.5 bilion. Antaranya termasuklah; SMK Laya-laya, Tuaran Sabah; SMK Baie, Bintulu, Sarawak; SMK Seri Melati, Kuantan, Pahang; SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar, Perak; dan SMK Binjai, Kota Bharu, Kelantan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2024)

Dalam masa sama, Anwar berkata bagi memperkasakan aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sebuah Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian akan ditubuhkan.

Kerajaan juga tembahnya menyediakan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran STEM.

Related Articles

Back to top button