Negeri

RM12.4 bilion untuk Malaysia Timur, Persekutuan bantu perkukuh industri elektrik Sabah

Kerajaan mengumumkan sejumlah RM12.4 bilion diperuntukkan untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak melalui Belanjawan 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, pentadbirannya sentiasa beriltizam untuk menzahirkan kesepakatan yang dicapai pemimpin terdahulu dalam Perjanjian Malaysia 1963, dapat direalisasikan.

Justeru daripada jumlah RM12.4 bilion itu, sebanyak RM6.6 bilion diperuntukkan kepada Sabah, manakala RM5.8 bilion lagi untuk Sarawak, iaitu peningkatan daripada RM6.5 bilion (Sabah) dan RM5.6 bilion (Sarawak) dalam Belanjawan 2023.

Pada pembentangan belanjawan itu juga Anwar turut berkata, atas semangat MA63, kerajaan Persekutuan juga telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal di kedua-dua negeri itu bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek-projek terlibat.

Selain itu, Kerajaan Perpaduan juga telah meningkatkan kadar pemberian khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta, berbanding RM16 juta bagi Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini.

“Kali terakhir kajian semula Pemberian Khas kepada Sarawak dan Sabah dibuat masing-masing pada 1969 dan 2022,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Mengulas lanjut Anwar berkata, atas semangat MA63, Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada penggal ini, bagi memperuntukkan wakil Kerajaan Negeri Sabah yang dinamakan Ketua Menteri Sabah dan seorang wakil Kerajaan Negeri Sarawak yang dinamakan Premier Sarawak selaras dengan hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963.

Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Sabah telah jelasnya mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.

“Kendatipun kuasa kawal selia diserahkan kepada Kerajaan Sabah, Kerajaan Persekutuan tetap akan terus membantu Kerajaan Sabah dalam mengukuhkan industri bekalan elektrik di Sabah melalui pemberian subsidi kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehinggalah Pelan Transformasi SESB berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun iaitu sehingga 2030,” katanya lagi.

Bagi menjamin kestabilan dan mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah khususnya di kawasan timur Sabah, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan kepada pelaksanaan penjanaan tenaga secara solar hibrid serta pembinaan jaringan talian penghantar elektrik di selatan Sabah.

Selain itu beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga sedang berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS) kepada Kerajaan Negeri

Related Articles

Back to top button