Semasa

Belanjawan 2024 bukti Kerajaan Perpaduan dengar keluhan pesawah

Kerajaan Perpaduan terbukti mendengar rungutan dan keluh-kesah pesawah yang terkesan dengan penurunan harga belian padi oleh pengilang.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, pesawah MADA teruja dengan pengumuman harga lantai belian padi yang dinaikkan kepada RM1,300 per tan metrik daripada RM1,200 per tan metrik seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu.

“Kali terakhir ia diselaraskan adalah pada 2014 dan dengan kenaikan harga lantai belian ini, ia secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pendapatan pesawah.

“Pengumuman ini sangat ditunggu-tunggu dan merupakan berita gembira oleh semua pesawah selain pelengkap kepada kenaikan RM500 Skim Subsidi Harga Padi yang telah diberikan oleh kerajaan dalam sektor padi pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau, menerusi Belanjawan itu juga seramai 57,635 pesawah MADA akan menerima manfaat daripada Skim Takaful Tanaman Padi yang diperkenalkan oleh kerajaan Perpaduan.

“Skim ini diperkenalkan untuk melindungi pesawah daripada sebarang risiko bencana dengan sebanyak RM50 juta diperuntukkan di bawah Tabung Bencana Pertanian bagi memberi pampasan kepada petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat bencana,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya menyambut baik Belanjawan Madani 2024 itu yang menunjukkan keprihatinan kerajaan Perpaduan dalam memperhebatkan usaha untuk menjamin kelangsungan industri Agromakanan serta menjaga kebajikan pesawah di seluruh negara terutama dalam kawasan Muda.

Beliau turut memuji fokus kerajaan kepada projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun dengan peruntukan RM3 bilion yang tujuannya untuk memastikan peningkatan pengeluaran padi negara.

Related Articles

Back to top button