Semasa

Belanjawan 2024: Sanusi, Nassuruddin akui Anwar tak pinggir negeri pembangkang

Belanjawan 2024 membuktikan Kerajaan Perpaduan bersikap adil dan tidak menyisihkan pembangunan di negeri yang dikuasai pembangkang

Ia terbukti melalui ucapan penghargaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyambut baik beberapa pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan Madani Jumaat lalu itu.

Muhammad Sanusi berkata, beberapa ‘wishlist’ Kedah dimasukkan dalam Belanjawan itu termasuk bagi memulakan projek tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun di Kota Sarang Semut.

Menurutnya, selain projek berkenaan, usaha menaik taraf sistem pengairan dan tersier (saliran) bagi melancarkan penanaman padi memberikan kelegaan kepada negeri khususnya pesawah.

“Saya ucap terima kasih kerana dua perkara tersebut merupakan antara wishlist Kedah. Terima kasih juga atas usaha menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 kepada RM500 per metrik tan,” katanya dalam sidang akhbar di Dataran Medan Bandar pada Sabtu.

Sanusi turut menghargai langkah Kerajaan Persekutuan menaikkan harga lantai belian padi oleh pengilang daripada RM1,200 per metrik tan kepada RM1,300.

“Saya harap semua langkah tersebut dapat beri sedikit kelegaan kepada petani, terutama di Kedah,” ujarnya.

Selain Kedah, Kerajaan Kelantan turut mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu.

Menteri Besar, Mohd Nassuruddin Daud ketika mengulas pembentangan Belanjawan 2024 berkata peruntukan dana itu akan dapat memberi manfaat kepada Kelantan dan seluruh rakyatnya.

“Alhamdulillah, kerajaan Pusat bantu Kelantan untuk menyelesaikan masalah air,”katanya dipetik Malaysiakini.

Related Articles

Back to top button