Semasa

Dakwaan masyarakat India dipinggirkan dalam Belanjawan 2024 tak berasas

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Saraswathy Kandasami membidas dakwaan kononnya masyarakat India dipinggirkan dalam Belanjawan 2024.

Beliau yang dipetik laporan media berkata, dakwaan tersebut datang dari pihak yang tidak membuat penilaian mendalam kepada belanjawan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu.

Tegas Saraswathy, belanjawan tidak wajar dilihat melalui pengumuman semata-mata tanpa melihat secara keseluruhan kepada apa yang dibentangkan.

“Belanjawan tahun ini tidak boleh dilihat hanya berdasarkan inisiatif-inisiatif yang khas kepada masyarakat India sahaja.

“Ia perlu dilihat secara keseluruhan,” kata Naib Presiden Parti KEADILAN itu kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Terdahulu, beberapa NGO dan aktivis masyarakat India menyatakan rasa kecewa dan mendakwa Belanjawan 2024 meminggirkan masyarakat tersebut.

Pengerusi Pertubuhan Rapat Aman Malaysia (Rapat) A Rajaretinam berkata peruntukan untuk sekolah Tamil dalam bajet ini tidak dinyatakan dengan jelas dan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) tidak ditambah.

Menjawab tuduhan itu, Saraswathy menjelaskan bahawa masyarakat India turut akan mendapat manfaat daripada inisiatif-inisiatif yang lain.

“Sebagai contoh, Belanjawan 2024 memperuntukkan RM44 bilion kepada Kuskop di bawah pelbagai inisiatif dan program.

“Ia bukan untuk kaum tertentu sahaja. Tetapi, kepada semua rakyat Malaysia yang layak menerimanya.

“Kementerian-kementerian yang lain turut memainkan peranan yang sama iaitu inisiatif dan program yang diumumkan adalah untuk semua kaum,” tegasnya.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM58.7 bilion kepada Kementerian Pendidikan.

Daripada jumlah itu, RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara termasuk sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah Tamil dan Cina termasuk sekolah pendidikan khas, dengan memberi tumpuan kepada keperluan pelajar autisme.

Selain Saraswathy, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan turut mengakui Belanjawan 2024 tidak meminggirkan masyarakat India.

Menurutnya, belanjawan yang dibentangkan semalam adalah bajet menyeluruh dalam memastikan semua kaum di negara ini menerima manfaat dan mendapat perhatian termasuk masyarakat India.

“Melalui MITRA pula, sebanyak RM100 juta diperuntukkan dan saya percaya ia akan membantu sosio ekonomi masyarakat India secara keseluruhan,” katanya

Related Articles

Back to top button