Hala tuju baharu PEDi bakal diumum akhir November ini – Fahmi Fadzil
Hala tuju baharu Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dijangka diumumkan pada sambutan Hari Anugerah PEDi yang bakal berlangsung 29 November ini.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, pembaharuan itu seiring pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 yang memperuntukkan RM25 juta bagi memperkasa peranan pusat itu.
.”.. tiba masanya untuk anjakan persepsi dan operasi PEDi, iaitu selain menjadi pusat ekonomi digital turut memainkan peranan sebagai pemangkin ekonomi digital,” katanya selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya pada Sabtu.
Mengulas lanjut mengenai peruntukkan yang diberi itu, Fahmi berkata ia akan digunakan sebaik mungkin bagi menyokong pengusaha kecil memasarkan dan menjual produk secara dalam talian.
“Ini supaya ia (PEDi) tidak hanya beroperasi sebagai pusat Internet bagi komuniti tetapi potensi besarnya turut digunakan oleh usahawan setempat untuk menjana pendapatan lumayan dengan beberapa produk baik dan pemasaran utuh, tanpa perlu ke bandar,” tambahnya.
Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan, dengan RM303.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.
Ia belanjawan kedua dibentang Anwar, yang juga Menteri Kewangan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan pada November 2022
Sementara itu Fahmi turut meminta agensi di bawah KKD mengambil maklum setiap pandangan, teguran dan cadangan tambah baik berhubung Belanjawan 2024 yang akan dikemukakan ahli Parlimen pada minggu yang akan datang.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Penerangan agar menerapkan pengisian supaya rakyat memahami dengan jelas Belanjawan 2024 serta hala tuju kerajaan.
“Saya minta Japen supaya menerapkan pengisian dan juga apa sebenarnya yang diusahakan kerajaan. Kita berada dalam suatu keadaan di mana kita perlu mengubah struktur ekonomi,” katanya.